Tuesday, February 7, 2012

Hikmah Menziarahi Orang Sakit



Hikmah Menziarahi Orang Sakit .


Salah Satu sunnah Rasulullah Saw ialah sunnah menziarahi orang sakit.

“Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang sakit akan berada di dalam kebun buah - buahan syurga sehinggalah ia pulang.”

( Hadith Riwayat Imam Muslim)

Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a.:

“Apabila seorang muslim itu menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke petang. Dan apabila dia menziarahinya pada waktu petang, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke pagi, dan akan dikurniakan kepadanya sebuah taman di syurga.”

(Hadith Riwayat Abu Dawud & Tirmidzhi)


Friday, October 28, 2011

Kadar Caj Doktor Di Tetap



Kadar siling caj doktor ditetap

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/04/25

Pesakit dijangka perlu bayar antara 20 hingga 30 peratus lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyemak semula caj profesional untuk pengamal perubatan, doktor dan pakar perubatan dengan menetapkan kadar bayaran siling bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara.

Difahamkan, langkah itu bertujuan memantapkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan negara melalui penetapan kadar siling bagi bayaran profesional pengamal perubatan, doktor dan pakar, yang dikenakan kepada pesakit di klinik dan hospital swasta.

Jika diluluskan, orang ramai dijangka perlu membayar antara 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada caj sekarang selepas kadar itu tidak dikaji selama kira-kira 10 tahun.

Penetapan bayaran siling baru itu akan dilaksanakan menerusi pindaan Jadual Ke-13 mengenai Bayaran Profesional, Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 dan jika diluluskan, seramai kira-kira 7,000 pengamal perubatan swasta akan menikmati bayaran baru untuk perkhidmatan mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan cadangan semakan semula bayaran itu, berkata pindaan berkaitan sudah siap dan menunggu masa untuk dibentang ke Kabinet dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kadar semakan semula bayaran profesional dicadangkan Kementerian Kesihatan, sebaliknya memberi jaminan tidak membebankan rakyat.
Namun, difahamkan kadar kenaikan dua hingga tiga peratus setahun itu seperti dicadangkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang turut menyumbang input kepada cadangan semakan semula bayaran itu.

“Pindaan atau semakan semula itu dibuat selepas kementerian mengambil kira bayaran kepada doktor yang sudah lama tidak dikaji hampir 10 tahun. Memang ada permohonan untuk meningkatkan kadar yuran profesional terutama di kalangan pengamal perubatan swasta.

“Yuran pakar juga akan dipertimbangkan. Namun, kelulusannya tertakluk persetujuan Kabinet kerana kita tidak mahu ia membebankan rakyat, sebaliknya menguntungkan semua pihak dengan kualiti khidmat kesihatan lebih baik,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan semakan semula bayaran profesional bakal dilaksanakan tidak lama lagi selepas kali terakhir kerajaan mengkaji bayaran itu pada 2002.

Ketika ini kadar bayaran profesional bagi doktor dan pakar perubatan dikawal dan ditetapkan kementerian yang perlu dipatuhi setiap pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Sumber : KLIK

Tuesday, August 23, 2011

Salam Aidilfitri Dari Kami Di Klinik Bima Sakti


Saya, Dr Zaki sekeluarga dan seluruh Staf Klinik Bima Sakti ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa dan selamat menyambut Hari Raya aidilfitri.

Semoga anda sekalian sentiasa beroleh kesihatan, rahmat dan kebahagiaan selalu.

Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda semua yang menjadikan Klinik Bima Sakti sebagai pilihan utama untuk rawatan dan rundingan kesihatan anda!

Kesihatan Anda Keutamaan Kami.

Semoga Anda Cepat Sembuh . Amin.


Tuesday, April 19, 2011

Kebaikan Menunggang Kuda


Kebaikan Menunggang Kuda


Rasulullah saw juga pernah bersabda menganjurkan umatnya berkuda selain memanah dan berenang. Kuda dalam bahasa Arab disebut sebagai 'faras', kuda jantan 'fahl' atau pada umumnya disebut juga sebagai al-khayl.

Didalam Al-Quran perkataan 'kuda' disebut sebanyak 5 kali. Dalam Surah 79 dan Surah 100 disebut al-naziat, al-adiyat dimaksudkan sebagai 'kuda' sementara Surah 37 al-saffat, Surah 51 al-dhariyat dan Surah 77 al-mursalat dimaksudkan kepada kuda.

Sememangnya banyak rahsia yang tersirat di sebalik hadis Nabi saw yang menyarankan umatnya berkuda,memanah dan berenang.Dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah ada bersabda, yang bermaksud :

"Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah"


Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).”
(Riwayat Muslim)

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.

Bentuk lekuk badan belakang kuda - tempat di tunggang- adalah baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.

Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota : tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral - termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.



* p/s.... saya pun baru belajar menunggang jer. Ni kuda pertama yang baru saya beli.Namanya Tola , semoga kuda ini serasi dengan kami dan memberi keberkatan serta manfaat kepada kami sekeluarga.

*Kepada sesiapa yang sudi memberikan nasihat dan tunjuk ajar tentang bagaimana memelihara dan melatih kuda untuk tujuan riadah, saya amat mengalu-alukan ilmu dari tuan puan sekalian.

Wassalam.


Tuesday, April 6, 2010

Denggi berdarah boleh membawa maut




Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


MINGGU ini kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penyampai radio, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih mesra dengan panggilan Din Beramboi. Sebelum ini, Din Beramboi dikatakan terkena penyakit bawaan bakteria air kencing tikus ketika menjalani penggambaran di Zoo Negara.

Bahkan deejay radio Era FM itu turut menghidapi penyakit denggi berdarah yang menyebabkan organ dalamnya gagal berfungsi dan menghadapi pendarahan dalaman.

Pihak hospital memaklumkan organ penting seperti buah pinggang dan hati gagal berfungsi. Darahnya juga telah menjadi masam dan dijangkiti kuman dan bertambah buruk apabila dia dijangkiti denggi berdarah.

Pada hari Jumaat yang lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan rapi (ICU), Hospital Selayang. Kejadian ini sedikit sebanyak menyedarkan kita tentang perlunya pengetahuan penyakit seperti denggi berdarah. Mungkin ramai antara kita yang sudah biasa mendengar tentang denggi namun ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Minggu ini kita bersama Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari untuk mengetahui lebih lanjut tentang denggi berdarah.

Apa itu denggi?

Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis serotype virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza.

Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat hingga lima hari pada tahap awal penyakit.

Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:

i) Demam denggi klasikal.

Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau breakbone fever.

ii) Demam denggi berdarah.

Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

Tanda-tanda atau gejala:

1. Demam denggi klasikal

Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

2. Demam denggi berdarah

Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Dengue Shock Syndrome (DSS).

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah:

Rawatan:

Rawatan demam denggi klasikal:

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah:

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

- Mudah lebam

- Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi

- Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Sifat nyamuk Aedes

1. Gigitan pada waktu pagi dan senja. (5 pagi - 8 pagi dan 5 petang - 8 malam)
2. Bertelur dalam air mati yang jernih


Wednesday, August 19, 2009

Selsema Babi paling Buruk Di Dunia?



Selesema babi pandemik paling buruk dunia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
shahara.ghazali@utusan.com.my

20 ogos 2009

Percaya atau tidak, walaupun dengan hanya 27 juta penduduk, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kes selesema babi paling tinggi di dunia.

Malah sehingga Selasa lepas, kita menduduki tempat kelapan jumlah kematian tertinggi dunia ekoran wabak maut itu dengan 67 kematian dari 4,225 kes disahkan positif.

Pandemik selesema babi ialah satu wabak terkini yang melanda penduduk dunia secara besar-besaran. Wabak ini adalah ekoran jangkitan strain baru daripada virus selesema Influenza A, subjenis H1N1.

Sebagai perbandingan, sehingga Selasa lepas, seluruh dunia mencatatkan 242,872 kes yang disahkan positif manakala angka kematian telah mencecah seramai 2,267 orang.

Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kes positif dan kematian paling tinggi iaitu 46,948 kes dengan 477 kematian.Ia diikuti Argentina, Brazil, Mexico, Australia, Chile, Thailand, Malaysia, Kanada dan Britain.

Bagaimanapun Jerman, Jepun dan China masing-masing mencatatkan kes positif seramai 11,103 orang, 5,022 orang dan 2,350 orang tetapi masih belum ada kematian yang dicatatkan.

Selesema Spanish 1918

Sepanjang abad ke-20, strain virus influenza A adalah punca tiga pandemik selesema terbesar dunia, iaitu selesema Spanish pada tahun 1918, selesema Asia pada 1956 hingga 1958 dan selesema Hong Kong pada 1968 hingga 1969.

Seluruh dunia, dianggarkan sehingga satu bilion orang dijangkiti selesema Spanish yang telah menyebabkan anggaran jumlah kematian sehingga 100 juta orang.

Pandemik influenza A terkini pertama kali dikenalpasti pada April 2009 bermula di Mexico, dipercayai ia telah menular beberapa bulan sebelum itu sebelum ia dikenalpasti sebagai satu wabak.

Justeru, kerajaan Mexico mengambil langkah menutup hampir semua pejabat dan kemudahan awam serta swasta di seluruh bandar Mexico sebagai langkah membendung wabak tersebut.

Ia merebak dengan mudah di hemisfera selatan ekoran ia berada di musim selesema musim sejuk dan negara-negara membangun yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terhad.

Penularannya secara mendadak menyebabkan selesema babi diistiharkan sebagai pandemik dunia pada 11 Jun lepas.

Biasanya, ia merebak melalui batuk, bersin dan sentuhan permukaan yang tercemar. Simptomnya serupa dengan selesema biasa termasuk demam, bersin, sakit tekak, sakit kepala dan sakit-sakit sendi yang biasanya kekal selama seminggu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakan kematian melibatkan mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah atau masalah kesihatan seperti asma, obesiti atau penyakit jantung.

Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal perubatan New England Journal of Medicine mendapati 94 peratus daripada pesakit yang disahkan positif menghidap selesema babi mendapat demam panas, manakala 92 peratus pesakit mendapat batuk.

Mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi serius termasuk warga tua yang berusia melebihi 65 tahun, kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun, wanita mengandung.

Data CDC menunjukkan lebih 70 peratus daripada kes yang dimasukkan ke hospital ialah mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Di awal penyebarannya, kebanyakan kes di luar Amerika Utara berpunca dari lawatan ke AS dan Mexico, bagaimanapun penyebaran di dalam negara telah dilaporkan di sekurang-kurangnya 89 negara seawal bulan Jun.

Media seluruh dunia menggelarkan influenza ini sebagai selesema babi kerana virus terbaru itu adalah sejenis influenza yang berasal dari strain virus yang terdapat di kalangan haiwan tersebut. Walaupun, pegawai rasmi kesihatan antarabangsa telah mengesahkan bahawa daging babi selamat dimakan, beberapa dozen negara masih mengharamkan import daging babi dari AS.

Terlepas pandang

Terdapat juga pakar yang mendakwa pegawai rasmi kesihatan seluruh dunia telah terlepas pandang akan risiko kumpulan babi sebagai penyebab strain influenza baru, sedangkan tumpuan yang lebih banyak telah diberikan kepada ancaman selesema burung.

Penyelidik berpendapat perdagangan babi hidup di antara Eurasia dan Amerika Utara telah membantu mencampuradukkan strain-strain berlainan virus influenza babi sehingga menyebabkan pembentukan strain virus H1N1 yang terbaru.

Tambahan pula, virus influenza H1N1 kali ini disifatkan oleh pakar virologi dari Universiti Hong Kong, Guan Yi, sebagai sangat tidak stabil yang bermakna ia boleh bercampur dan memindahkan bahan genetik apabila terdedah dengan virus lain memudahkannya untuk bermutasi.

Malah pandemik terbaru ini juga menyebabkan para penyelidik mengesyaki punca utama wabak 2009 ialah kekurangan pemantauan daripada industri babi memandangkan penternakan haiwan itu terlalu diindustrikan.

Terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa jumlah jangkitan baru di hemisfera selatan kelihatannya telah memuncak dan kemudiannya mula berkurang di negara seperti Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, badan itu mendapati penularan virus itu semakin aktif dengan jangkitan baru yang semakin meningkat di negara-negara Asia termasuk Thailand, India, Vietnam dan Malaysia.

Memandangkan virus tersebut boleh merebak dengan mudah, sama ada melalui udara atau sentuhan, mereka yang dijangkiti sewajarnya dikuarantin di rumah dengan tidak ke sekolah, ke tempat kerja atau tempat-tempat awam.

CDC mencadangkan orang ramai yang mengalami tanda-tanda selesema untuk tinggal di rumah selama tujuh hari dan jangan keluar atau kembali ke pejabat atau sekolah sehinggalah 24 jam selepas sihat sepenuhnya.

Dalam usaha mengawal penularan selesema babi, beberapa negara terutama Asia telah mengenakan arahan kuarantin terhadap penumpang kapal terbang yang mempunyai simptom selesema, malah ada negara yang mewajibkan pemeriksaan kepada penumpang.

Langkah penutupan sekolah bagaimanapun dianggap strategi yang tidak efektif. Bak kata Penguasa Kesihatan Awam Houston, David Persse, penularan virus tersebut terlalu mudah dan pantas di kalangan pelajar sekolah hinggakan apabila sekolah ditutup sebenarnya sudah terlewat.

Kebanyakan negara kini menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara, serta memantau mereka yang baru pulang dari kawasan yang dijangkiti.

Sebagai langkah pencegahan, banyak syarikat penerbangan telah membaiki prosedur kebersihan terhadap penerbangan antarabangsanya bagi mengurangkan risiko termasuk memasang penapis udara, pemeriksaan suhu terhadap semua penumpang dan menyediakan tuala dengan antiseptik.

Ada juga negara yang menguatkuasakan perintah kuarantin yang sangat ketat terhadap pelancong termasuk kerajaan China yang mengarahkan 21 pelajar dan tiga guru dari AS berkurung di dalam bilik hotel mereka ekoran salah seorang penumpang kapal terbang disyaki mengidap selesema babi.

Di Hong Kong pula, sebuah hotel mengkuarantinkan kesemua 240 tetamu selepas salah seorang tetamu disahkan mengidap virus tersebut, sementara kerajaan Australia mengarahkan sebuah kapal pesiar dengan 2,000 penumpang supaya tidak mendarat selama seminggu.

WHO menjangkakan vaksin penuh untuk virus itu tidak akan ditemui sebelum akhir 2009, jika ada pun mungkin terhad dan akan diberikan terlebih dahulu kepada kakitangan kesihatan, wanita mengandung dan lain-lain kumpulan berisiko tinggi.

Mereka juga bimbang virus influenza A itu boleh bermutasi lagi dan menjadikannya sebarang vaksin baru juga mungkin tidak berkesan.